Thursday 13 December 2012

Mendidik anak istimewa


MENDIDIK anak istimewa bukan perkara mudah. Ibu bapa atau individu yang bertindak menjaga serta mendidik mereka wajar mempunyai kesabaran yang tinggi dalam usaha membentuk keperibadian dan keyakinan si anak menguruskan diri.


Kerjasama dan persefahaman antara ibu bapa dan penjaga amat diperlukan bagi memastikan insan istimewa ini mendapat hak sebaiknya dalam menjalani kehidupan harian baik di rumah mahu pun di pusat penjagaan harian.

Itulah yang dipraktikkan di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), kemudahan untuk membimbing dan mendidik anak istimewa supaya mereka mampu berdikari menguruskan diri.

PDK Taman Sri Gombak yang mula beroperasi pada 31 Julai 2007 umpamanya mempunyai cara khusus membentuk penghuni istimewa menjalani kehidupan dengan gembira selain mengajar lebih 60 penghuninya ketika ini kemahiran hidup sebagai bekalan diri.

"Tidak semua mengunjungi pusat ini setiap hari. Hanya 48 orang yang datang mendapatkan penjagaan, manakala selebihnya tinggal di rumah dan kami akan mengadakan lawatan setiap minggu untuk pemantauan.

"Sama ada mereka datang ke sini atau tinggal di rumah dengan ibu bapa, latihan yang diberikan adalah sama, cuma lokasinya saja berbeza," kata Pengerusi PDK Taman Sri Gombak, Yuszahari Mohd Yusof.

Penyelianya, Zaharah Ali berkata, penghuni PDK berkenaan antaranya adalah sindrom down, mengalami masalah pembelajaran, autisme dan cacat pendengaran serta beberapa masalah lain, yang diselia oleh beliau dan tiga pembantu khas.

"Mereka berada di pusat ini selama empat hari seminggu dan kami bertanggungjawab memantau ketika mereka berada di sini. Pelbagai latihan dan senaman diberikan untuk menjadikan mereka cergas dan sihat selain memastikan keperluan mereka tidak diabaikan.

"Begitu juga dengan peserta istimewa lain yang berada di rumah, kami memastikan mereka mendapat latihan dari segi pergerakan fizikal yang betul daripada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, selain kesungguhan diberikan penyelia terhadap penghuni rumah berkenaan, ibu bapa juga perlu memberi kerjasama bagi membolehkan individu kesayangan mereka membesar dengan ilmu yang boleh membantu mereka pada masa depan.

"Selain menyediakan penghuni dengan latihan fisioterapi di rumah, kami juga membawa mereka melawat ke lokasi rekreasi yang dikira bersesuaian dengan keadaan mereka seperti ke pusat akuatik untuk latihan renang atau menjalani sukan berkuda, yang berguna untuk kecergasan fizikal mereka.

"Jika mendapat kerjasama ibu bapa, ini lebih bagus kerana ia membantu mempermudahkan tugas kami mengendalikan penghuni PDK," katanya.

Selain itu, Zaharah juga turut mengalu-alukan sumbangan daripada ibu bapa atau masyarakat setempat sama ada dalam bentuk kewangan mahu pun tenaga kerana paduan tenaga antara masyarakat, ibu bapa dan pengendali akan membuahkan hasil yang lebih berkesan.

No comments:

Post a Comment